Translate

Powered By Blogger

Puisi|Sajak



Pegasus
Pegasus pelangi dari mimpi pagi
Hadir menyambar hati yang sepi
Lama cinta lara berduka hambar
Kehadiran penyala cinta kembar 
Penulis ini tiada lagi sepi
Bertemu dengan penulis impian hakiki

Karya Sofia Naznim




Si Kucing Jalanan
Mungkin lebih baik jika kita beri makanan
Khas buat kucing jalanan
Dari memberi sisa
Yang cuma tak lalu suap dan pandang

Mungkin lebih baik juga kita beri sisa makanan
Makanan yang tinggal cuma
Dari segala pembaziran
Dan sadaqah kepada si kucing jalanan…


Abaikan “mungkin”..

Karya Sofia Naznim




Ada Apa dengan Cinta
Apa itu cinta?
Haruskah kita membencikan cinta..?
Keagungan cinta hadir dari-Nya
Haruslah kita menghargai kenikmatannya
Ketulusan cinta membawa kebahagiaan
Kekhianatan cinta membawa kemusnahan

Haruskah kita berdusta dengan cinta..?
Mencintai seseorang banyak hikmahnya
Di sebalik hikmah banyak dugaannya
Ada cinta ada perpisahan
Tabahkan hati tingkatkan iman

Haruskah kita mengkhianati cinta..?
Cinta memerlukan kepercayaan
Seharusnya juga  kejujuran
Tanpa mempunyai keperibadian
Cinta tidak akan bertahan

Haruskah kita melupakan cinta..?
Keperitan cinta mengundang kepiluan
Tidak juga mengundang kedatangan
Kita hanya merancangkan
Tuhan juga yang menentukan...

Karya Sofia Naznim




Berangta
Saat mengenali erti cinta
Diri bagai dipinta
Mencerminkan hidup dengan bertakhta
Mahkota seorang putera
Yang merupakan seorang jejaka
Dari hati dan segenap jiwa
Bagi menyempurnakan rasa
Ketetapan hidup dan masa
Dan kebahagiaan cinta
Demi persimpangan usia
Berselindung dari merana
Jalanan yang terbina
Mencantumkan impian kita
Yang terjalin lama
Dari segala penghalang bahagian cinta
Yang sering mewujudkan duka
Dan kepiluan jiwa
Untuk mempertahankan cinta
Yang suci dari sandiwara
Pedoman ini melatih kita
Dari pancaroba dunia
Yang memberi derita
Untuk menguji cinta
Yang sejati dari sanubari kita
Itulah kuasa cinta

Karya Sofia Naznim




Ayahanda
Sebelum mengenalinya
Ku renung wajahnya
Matanya bersinar bak helang
Kedutan di mukanya tak terbilang
Giginya tiada bilangnya
Namun senyumannya menyerikan segalanya
Putih rambutnya, luas dahinya
Ketidaksempurnaannya
Menyempurnakan cinta hatinya
Meskipun kulitnya gelap
Hatinya tidak malap
Bahkan mampat dengan ilmu
Ilmu laduni, ilmu pada yang Satu
Sakunya kosong
Hanya sekeping wang merah di para lama
Tetapi hatinya tidak terpesong
Dekat lagi jiwanya di alam fana
Aku cinta padanya
Aku cinta padanya

Karya Sofia Naznim




Munsee, Meowmu Tetap di Hati
Kau comel
Kau tampan
Kau baik hati
Menambat segenap kalbu
Meragakan kasih dan sayang
Dengan lirikan manja
Sentuhan panas terasa
Hidungmu yang basah
Watakmu yang suka mengacah
Mengembirakan hati yang lara
Melupakan segala duka nestapa
Ekormu sering digoyang suka
Mata bersinar melambangkan cinta
Tidak pernah kau tiada
Pasti kau pulang dengan pelukan di dada
Kau peneman setia
Yang melengkapkan dunia dan masa
Tiba-tiba kau pergi
Perasaan syahdu tidak terperi
Sungguh sunyi tanpa kau di sisi
Meow yang menawan hati
Egomu yang mencuit hati
Pasti sangat dirindui
Kau tidak akan dilupai
Kaulah keluarga kami
Semoga Allah membalas budimu
Di syurga abadi
Dia lebih menyayangimu
Cintamu kekal terpatri
Kepada yang menzalimi
Allah pasti membalas kelak
Bawalah bertaubat sebelum dihakimi
Kalau tidak di dunia, di akhirat nanti balasan pasti tidak dapat dielak!

Puisi buat kucing tercinta yang pergi menghadap Pencipta, Munsee. 

Semoga kau tenang dan bahagia di syurga-Nya.

Karya Sofia Naznim




Mata Hati
Aku tidak dapat melihat
Matahari yang menyinar
Tapi aku dapat merasa
Kepanasan yang memancar di wajahku
Aku tak dapat melihat
Redupnya hari apabila mulai hujan
Tapi aku dapat menjangka
Sebelum setitis hujan membasahi bumi
Meskipun aku tidak mampu melihat
Tidak sempurna penglihatan duniawi
Tak bererti
Mata hati malap seperti mata pancaindera
Biarlah diejek manusia kononnya sempurna
Yang hakikatnya tidak punya apa-apa
Aku tidak dapat melihat
Ke mana langkah kakiku menuju
Tapi aku percaya
Aku bersyukur
Tuhan sentiasa melindungi
Ketidaksempurnaanku

Karya Sofia Naznim




Menanti Dalam Luka
Ku rangkumkan sepatah kata
Untuk kau percaya
Ku ranumkan sepatah kata
Untuk kau merasa
Ku selitkan kepercayaan
Dan perasaan dalam dada
Bertebaran kasih di ruang jiwa
Kerana menanti sebuah cinta
Emosi indah di panaroma
Untuk kau bawa
Yang kini menggila di seketika masa
Terdetiknya rindu yang kini tiada
Yang pasti kini
Hanya hati terluka...

Karya Sofia Naznim




Ang Mo Kio
Kerinduan yang dipisahkan melalui kejauhan
Kejauhan duniawi yang membuah kerinduan
Rinduku jauh rasanya keluh
Peluh membasah rasanya mengayuh
Membawa rindu terbang-terbangan
Hinggap di Ang Mo Kio terang-terangan
Mengayuh di angkasa ke tak tetapan
Jatuh tersungkur usah diharapkan
Ang Mo Kio
Destinasi kerinduanku
Rindu bertemu rindu
Membuah sepasang kerinduan
Yang berterbangan
Di ruang angkasa Ang Mo Kio
Ang Mo Kio
Tunggulah aku
Mencapai impian
Terbang ke arahmu
Mengguna sayap kerinduan
Yang kukuh tak kan jatuh
Yang utuh tak kan lusuh

Karya Sofia Naznim



Teman Durjana, Sahabat Seirama
Banyak kawan banyak juga lawan
Diam tak bermaksud lupa
Hilang tak bermaksud dusta
Bersuara mana sahabat
Menjerit baru ada kelibat
Yang ilmu kau campak
Yang melalut jua dikepak-kepak
Tak serupa seperti yang lain, kau merajuk
Dia pujuk, kau kaku, terperuk
Bila berkata baik, drama
Tak akan nak buat jahat, Dia tak terima, baru kau suka?
Ikhlas, jujur perlu dirasa
Kau tu bukan budak tadika
Dah pandai ada masa depan
Bersorak riang lupa si peneman
Usah begitu
Ada yang baik nak bersahabat, terima dengan hati yang suci
Tapi kalau orang dah tak berkenan,
abaikan,
jalani masa depan dengan sahabat yang memahami irama kamu,

berjaya bersama dengan nilai terpuji.

Karya Sofia Naznim

Karya ini dipublikasikan di Laman Puisi Terkenal (Loker Puisi)
http://lokerpuisi.com/2015/02/14/teman-durjana-sahabat-seirama-oleh-sofia-naznim/




Kita Bina Bersama
Kita bina kelmarin
Sebuah impian dan harapan
Kita bina kini
Sebuah percintaan dan kenyataan
Kita bina lusa
Keakraban dan masa depan
Mampukah kita bina
Ketulusan dan kepercayaan
Yang perlu diteguhkan
Selagi jasad dikandung badan?


Karya Sofia Naznim




Kehidupan
Panaroma asmaraloka yang indah
Menggigit pangkal rasa
Yang padat dengan emosi
Malam yang lara
Kian kelam ditenggelami
Oleh kegelapan awan
Dan disurami dengan perpisahan
Yang tiada undangan
Pemergian yang lumrah
Dalam kehidupan semasa
Telah menyembunyikan keprihatinan
Dan kewibawaan seorang insan
Lalu menjadikannya tempat kegelapan
Yang mudah membawa kebencian
Dan pancaroba yang mengasingkan
Cinta dan harapan
Seorang insan yang kehilangan
Tempat beradu asmara
Dan tempat yang sejati
Untuk berteman
Inilah dunia ciptaan-Nya
Yang mampat dengan dugaan
Dan seharusnya diterima
Sebagai insan yang tabah
Dan cekal menghadapinya
Sebagaimana ditentukan
“Itulah kehidupan”

Karya Sofia Naznim




Ini Darah Saya!
Puisi Jadi Senjata,
Bangkitlah kita dari demokrasi terdera
Bangkitlah kita dari rasa dicerca
Dari durjana yang dahaga kuasa
Dari kerakusan tekak penguasa
Gerak laju darah merah saga
Pedih aksaraku membatasi raga
Biar kita angkat panji sakti dermaga
Biar kebenaran rancak bergelora
Usahlah semua berlagak borjuis, bencana
Bangga lagi aku anak marhaen, saujana
Dunia konkrit algojo lagi fatamorgana
Dunia tertancap ketebalan dogma-dogma, sirna
Ini puisi bukan hodoh, bukan cantik saja
Ini puisi spontan, jujur dan penuh makna
Biarpun aku tidak mampu mengangkat senjata
Bertumpah darah
Biarlah puisiku menjadi senjata
Mengangkat sejarah!
Mari kita warnai insani suara
Ayuh kita pasakkan jiwa perwira!!


Semoga demokrasi benar-benarlah satu demokrasi bukan isarkomed…

Karya Sofia Naznim




 Bukan Cinta Kesatria
Kesakitan yang dirasai
Tiada siapa yg ketahui
Aku pendam
Merana dendam
Kasih pada bapa
Kasih pada Dia
Hanya aku, Dia yang tahu
Beri aku, kesempatan yang lalu
Untuk mengubah duniaku
Yang penuh kesempitan dan belenggu
Aku ingin cinta
Cinta yang setia, kasih kesatria
Dihunus ketajaman dunia
Masih berdiri merempuh segala derita
Aku terasa diri ini kerdil
Teguh seperti besi kerikil
Halus di mata Dia
Tebal di mata semua
Mungkin bukan sejak azali ini bermula
Mungkin bukan kini baru aku merasa
Rahsia hati, naluri tak ingin aku sampaikan
Atas sekeping nota aku leraikan
Maaf bukan aku tak kasih
Aku cinta tapi aku bertasbih
Aku ingin setia
Biarlah aku melangkau masa
Kita akan tetap bersama
Sekiranya itu yang saksama

Karya Sofia Naznim




Cicak Itu
Bila kita tengok cicak berjalan
Mungkin cicak itu berlari
Bila kita tengok cicak berlari
Mungkin cicak itu menari
Bila cicak menari
Mungkin cicak berhenti
Lalu cicak itu mati
Aku tersedar,

Dari lamunan pagi!

Karya Sofia Naznim




Amuk
Otak kananku katakan seni
Otak kiriku katakan sifir ke ini?
Seni dan sifir berkeceramuk
Menjadi cinta amuk
Satu, dua, tiga kali jumpa
Perasaan mendatang tapi ku takut cinta
Tapi aku sangat suka
Bila kau tenung dari jauh sana
Tak pasti ku apa yang kau fikirkan
Senyummu buatku riang sakan
Jangan tunggu lama-lama
Nanti lepas ke jauhari sana!


Karya Sofia Naznim




Hanyalah Untukmu
Ku wadahkan rindu dan sayang
Ku ulitkan kasih dan mesra
Dilestarikan semua ini untuk kau sayang
Pada sebuah memori puisi
Nan kekal selamanya
Kerana kau cinta abadi
Dan kau sentiasa di hati
Sentiasa
Dan sentiasa
Pada setiap hembusan nafasku
Pada setiap himpunan kata dan janjiku
Hanyalah untukmu


Karya Sofia Naznim




Selindung dari Nyata
Cinta lahir dari dua jiwa
Segala yang disemai
Menjadi ilham untuk berjaya
Namun, mengapakah cinta
Harus dirahsia?
Sedangkan dalam hati
Ada cinta
Percayalah bahawa dirimu
Sedang dilamun cinta

Karya Sofia Naznim




Tsunami
Menyingkap nostalgia menyayat hati
Mengecap memori pahit sekali
Mengenang peristiwa anak jati
Terkorban dengan penuh dihormati
Kekuasaan Tuhan menggubal dunia
Tiada siapa yang mampu ketawa
Tsunami melanda membawa nyawa
Keperitan ini ada hikmahnya
Inikah sudah penderitaan mereka
Meratapi kehilangan orang tersayang
Tiada tempat mengadu setia
Simpatilah pada yang terbuang

Karya Sofia Naznim




Sahabat
Dikaulah sahabatku kerana
Keperibadianmu
Keikhlasanmu
Kejujuranmu
Keprihatinanmu
Dan keistimewaanmu
Yang membuatmu menjadi sahabatku
Bukan sekadar sahabat
Tetapi teman yang tetap dari sanubari
Yang pasti di alam realiti
Bukan di alam mimpi
Kerana kau menerangi
Kegelapan yang menyelubungi
Perasaan ini
Terima kasih saudari
Kerana kau tak jemu mengingati

Karya Sofia Naznim




Semangat
Gagahku berlari
Ku terhenti
Di bahu jalan
Cuba mencari semangat yang hilang
Ku berlari lagi
Masih mencari semangat yang tak pernah luntur
Laluku temu
Semangat itu
Terukir senyuman walau keletihan
Ku teruskan larian
Walau tidak berteman
Langkahku terhenti di garisan penamat
Juaralah aku
Kerana semangat kamu
Pasti kau bangga
Pasti
Kerana semuanya untuk kamu
Semangat aku!

Karya Sofia Naznim




La Tahzan
La Tahzan
Aku berkata
Aku merasa
Tahzan, tahzan, tahzan!
Sungguh kita merasa..
Keperitan berleluasa
Menjangkau petak minda
Perih berganda-ganda
Bukan aku sahaja, bukan…
Kau sama berteriakan
La Tahzan
Aku berkata
Bersama kita runtuhkan
Motif perempuan durjana
Yang bertuhankan iblis
Dengan pegangan yang kita ada
Bertuhankan Allah Yang Maha Esa
As-Sabru
Yang mulia itu pasti dilindungi
Allahuakbar!

Karya Sofia Naznim



Sonata Cahaya Saga
Tatkala kau diam menabur benih, menebar jala
Keruh lelah merentasi persada
Iman merancak ilmu benua
Itu adalah epik saga yang hanya rahsia
Di mata insan yang mengenal cinta
Sonata darah hijau kuning cahaya
Aku persembah buat semua

Karya Sofia Naznim

No comments:

Post a Comment